PETALING JAYA – Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi, selamat tiba di China awal pagi tadi selepas berlepas dari Malaysia pada Ahad lalu.
Menerusi satu perkongsian di akaun TikTok @Ara_wonderland, dua buah lori dilihat membawa Fu Wa dan Feng Yi ke Pusat Pemuliharaan Panda Gergasi Bifengxia di wilayah Sichuan.
“Kesayangan Malaysia selamat sampai ke Bifengxia. Lama perjalanan hari ini, mesti Fu Wa dan Feng Yi penat. Semoga dapat menyesuaikan diri dengan cepat di tempat baharu,” tulis pemilik akaun tersebut.
Pasangan panda yang pernah menjadi tarikan utama di Zoo Negara sejak 2014 itu dihantar pulang ke negara asal selepas lebih sedekad berada di Malaysia.
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen tampil meluahkan rasa rindu dan sayang terhadap kedua-dua panda comel itu.
“Fuwa Fengyi sempat tak masuk kelas Mandarin,” seloroh @Zanaliyah.
“Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi.. Mama papa dah sampai… Moga semua dijaga dengan baik…sedih mak cik semua dah balik kampung halaman,” kata @Kaknur.
“Balik kampung dah kedua-dua panda yang comel,” komen @Rees.
Terdahulu, Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda dengan China diteruskan melalui pemeteraian perjanjian baharu pada 16 April lalu bersempena dengan Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia.
Pemeteraian perjanjian baharu ini membolehkan Malaysia menerima sepasang panda gergasi baharu untuk tempoh 10 tahun dari 2025 hingga 2035.
Malaysia dijadual menerima kehadiran sepasang panda gergasi baharu pada Ogos 2025. – KOSMO! ONLINE
@ara_wonderland 6.58pm – Kesayangan Malaysia selamat sampai ke Bifengxia. Lama perjalanan harini, mesti Fuwa Fengyi penat. Semoga dapat adapt di tempat baru dengan cepat 🥰 #fuwapanda #fengyipanda #panda #大熊猫 #大熊猫福娃 #大熊猫凤仪 ♬ 纯音乐(美好的一天) – 赵东俊