PETALING JAYA – Tindakan seorang peminta sedekah enggan menerima duit syiling yang dihulurkan di sebuah lampu isyarat mengundang pelbagai reaksi selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Dalam video berkenaan, individu yang memandu sebuah kenderaan dilihat menghulurkan sejumlah duit syiling bernilai RM1 kepada peminta sedekah berkenaan.
Namun, peminta sedekah itu langsung tidak memberi reaksi, sebaliknya hanya memandang dan berlalu pergi tanpa mengambil syiling tersebut.
Tindakan tersebut mengundang perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya mempersoalkan niat sebenar individu terbabit meminta sedekah.
“Saya nak cuba lepas ni, bagi syiling (berjumlah) RM50 tengok macam mana. Kalau seringgit dalam kertas dia ambil, tapi syiling tak nak. Taktik menarik juga,” kata Rafit Ismail.
Sementara itu, pengguna lain, Akmal Sabor berseloroh bahawa kali ini ‘peminta sedekah yang angkat tangan dulu’.
Bagi Zaiedah Jumaat, dia berpandangan mungkin peminta sedekah itu tidak mahu syiling kerana faktor logistik.
“Kalau sehari 20 orang bagi syiling, nanti berat pula nak bawa. Susah nak berjalan, bank pun tak nak terima. Kalau duit kertas, habis shif terus boleh masuk mesin deposit,” ujarnya.
Namun bagi segelintir pengguna media sosial, insiden itu menimbulkan rasa kurang senang dan menimbulkan persoalan sama ada aktiviti meminta sedekah itu benar-benar dilakukan oleh golongan memerlukan.
“Sebab itu saya memang tak bagi. Kalau nak bersedekah, saya pilih bagi pada anak-anak jiran. Terjumpa dalam lif atau selisih di mana-mana pun tak apa,” kata Nor Azizah. – KOSMO! ONLINE