LANGKAWI – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memeterai Surat Niat (LoI) dengan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua (IKTBNDT) bagi membangunkan prototaip untuk rondaan dan pengawasan di perairan negara.
Ketua Program pembangunan prototaip tersebut, Mejar (B) Prof. Madya, Ir. Dr. Razali Abidin berkata, kedua-dua institusi itu berkerjasama untuk membangunkan dan mereka prototaip Kenderaan Hover Wing-In-Ground (HWIG).
“HWIG ini akan dilengkapi Remote-Controlled Weapon System (RCWS) yang menjadi inisiatif penting dalam memperkasa sistem keselamatan dan keupayaan kawalan pantai Malaysia.
“Projek ini menyasarkan pembangunan platform mobiliti maritim berkelajuan tinggi dan berprofil rendah radar,” katanya selepas Majlis pertukaran dokumen di Pavilion Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bersempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Menurutnya, HWIG juga dilengkapi sistem persenjataan yang dikawal secara jarak jauh yang dapat memberikan tindak balas pantas di kawasan strategik perairan negara.
Tambahnya, hasil daripada kerjasama itu membuktikan bahawa sinergi antara institusi akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan solusi teknologi berimpak tinggi yang menyumbang secara langsung kepada pemerkasaan keselamatan negara.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada perkongsian sumber manusia dan kepakaran, selain merangsang pemindahan teknologi dan inovasi dari makmal ke lapangan sebenar,” ujarnya.
Majlis tersebut disempurnakan Naib Canselor UPNM, Datuk Arman Rumaizi Ahmad dengan Pengarah IKTBNDT, Shamsuri Arif yang disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud. – KOSMO! ONLINE