fbpx

‘Tak berdendam, kita tak tahu andai dijodohkan semula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Emma tidak menolak andai bertemu jodoh semula dengan bekas suami, Shazli.

KUALA LUMPUR – Pelakon sensasi Emma Maembong tidak menolak andai bertemu jodoh semula dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, tiada sebab untuknya dengan bekas suami berdendam antara satu sama lain.

“Hubungan kami memang baik sebab tak ada apa yang nak berdendam.

“Saya dan bekas suami tahu, perkahwinan kami gagal, kami yang ada masalah tapi benda itu dapat diselesaikan.

“Kalau masa akan datang kita dijodohkan semula, kita pun tak tahu, jadi buat apa kita nak berdendam. Saya tak kisah soal jodoh ini sebab ada di mana-mana,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sesi temu bual hari ini.

Dalam masa sama, pelakon drama Seribu Tahun itu turut menasihati agar pasangan yang bercerai tidak perlu menjadikan permasalahan rumah tangga sebagai tatapan umum.

“Contohnya bukan kita tak pernah tengok. Ada sahaja pasangan berperang ‘kau salah’ buka aib, tapi dua tahun kemudian jodoh bertemu kembali.

“Sebab itu hal rumah tangga kalau boleh kita simpan sahajalah.

“Siapa salah siapa betul simpan tak perlu cerita dekat semua orang. Itu masalah kita dan pasangan,” jelasnya.

Dia juga tidak akan mudah melatah dengan segala fitnah yang dilemparkan terhadap dia dan bekas suami kerana memikirkan keadaan anak-anak.

“Tak payah nak uar-uarkan. Ada sahaja bila kita berpisah orang kata saya macam-macam, jadi punca, dan cakap sama juga kepada bekas suami. Kami berdua tak kata apa diam sahaja.

“Biar orang cakap apa pun sebab kalau orang fitnah cerita macam-macam kita tak perlu beriya nak betulkan.

“Kita biarkan dan diam. Kita berdua tahu, kita baik untuk anak-anak,” ujarnya lagi.

Oktober tahun lalu, Emma mengesahkan sudah bercerai dengan Shazli dan selesai tempoh idah tetapi memilih untuk tidak menghebohkan kepada umum.

Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu iaitu Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI