fbpx

PM terima tabik hormat 31 kapal pada Fleet Review LIMA’25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN kapal yang terlibat dalam Fleet Review bagi Segmen Maritim LIMA'25 di Langkawi, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

LANGKAWI – Sebanyak 31 buah kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia (APMM) serta angkatan laut dari 10 negara menyertai acara Fleet Review sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), di sini hari ini.

Acara tradisi tentera laut itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Panglima Tentera Laut, Datuk Dr. Zulhelmy Ithnain di atas Kapal Diraja (KD) Perantau sebagai platform utama acara tersebut.

Anwar seterusnya menerima tabik hormat daripada setiap kapal yang mengambil bahagian dengan 14 kapal milik TLDM dan lima dari APMM.

Sebanyak 12 kapal lagi adalah dari angkatan laut 10 negara termasuk Bangladesh, India, Indonesia, Itali, Jepun, Turkiye, Russia, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

Tetamu jemputan turut menyaksikan acara terbang lintas hormat atau lebih dikenali sebagai fly-past melibatkan lima aset udara TLDM iaitu dua AW139, satu Super Lynx Mk 100 dan dua AS55 Fennec.

Selain itu, terdapat sebuah pesawat AW139 milik APMM dan pesawat AW189 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan pembukaan Segmen Maritim LIMA’25 dengan gimik perasmian menyaksikan penyusupan anggota penyelam taktikal dari TLDM dan PDRM yang terjun dari pesawat.

Anggota kemudian tiba di hadapan pentas dengan membawa kotak hitam yang berisi kad slot untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri.

Demonstrasi seterusnya pula mempamerkan keupayaan bot-bot dan jet ski dari pelbagai agensi maritim melakukan pergerakan atau manuver taktikal.

Antara agensi yang terlibat adalah TLDM, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Perikanan.

Satu lagi demonstrasi keupayaan maritim turut diperlihatkan dengan konsep Inter Agency Coordinated Rescue Mission (demonstrasi menyelamatkan tebusan) yang mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM, Unit Gempur Marin PDRM, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) APMM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara.

Pada edisi ke-17 ini, TLDM sebagai agensi utama Segmen Maritim LIMA’25 memberi penekanan terhadap ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara maritim dengan aktiviti maritim menjadi penyumbang utama sektor ekonomi negara.

Penganjuran LIMA’25 itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat awam betapa pentingnya keselamatan dan kestabilan maritim sebagai asas kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sesebuah negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI