KUALA LUMPUR – Berita gembira menanti skuad sepak takraw negara apabila Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengesahkan akan memberikan bonus kepada pemain yang mencipta kejutan pada Piala Asia 2025 yang melabuhkan tirainya Ahad lalu.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, janji itu akan ditunaikan bagaimanapun jumlahnya bergantung kepada kemampuan ‘kantung’ kewangan persatuan.
“Kita memang ada imbuhan sedikit, sekadar yang termampu dan PSM akan bagi, itu janji saya kepada pemain. Bonus tetap ada walaupun tidak besar,” katanya selepas pelancaran Liga Sepak Takraw (STL), hari ini.
Sumali turut menengaskan, pihaknya akan memohon imbuhan tambahan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN), khususnya untuk pemain yang berjaya meraih pingat.
“Saya akan buat permohonan rasmi kepada KBS dan MSN, terutama bagi pemain yang dapat menang emas. Kalau dapat perak pun Alhamdulillah, saya harap ia dapat dipertimbangkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa ganjaran Piala Asia masih belum diiktiraf oleh MSN sebagai kejohanan dalam senarai rasmi yang melayakkan atlet menerima imbuhan.
“Yang tersenarai sekarang cuma Kejohanan Asia. Tapi, kalau ada permohonan daripada persatuan sukan, MSN akan lihat dan pertimbangkan,” katanya.
Malaysia menutup tirai edisi sulung Piala Asia Kuala Lumpur 2025 dengan penuh bergaya apabila mara ke final dalam empat acara iaitu regu, beregu (double), kuadran dan regu berpasukan.
Skuad negara hanya berjaya menjulang kejuaraan dalam acara kuadran dan regu, manakala acara double serta regu berpasukan menyaksikan Malaysia meraih tempat kedua selepas tumpas kepada musuh tradisi, Thailand. -KOSMO! ONLINE