PASIR MAS – Dua pemandu lori tidak sempat menghantar pelbagai jenis pokok hiasan yang dianggarkan bernilai RM3.44 juta ke Johor dan Perak selepas mereka ditahan di lokasi berasingan di Jeram Perdah di sini dan Chabang Empat, Tumpat kelmarin.
Rampasan itu dijalankan oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kedua-dua kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, rampasan pertama dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah lori di Pos Pok Teh Kana, Jeram Perdah di sini kira-kira pukul 7.30 malam.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun itu menjumpai sebanyak 15,000 pokok buluh hijau dan 30 pokok ru yang disyaki diseludup dari Thailand.
“Siasatan lanjut mendapati, pemandu lori itu dipercayai akan menghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Johor.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori yang ditahan itu dianggarkan bernilai RM1.02 juta,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, dalam serbuan berasingan, pihaknya menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Ana, Chabang Empat di Tumpat kira-kira pukul 10 malam pada hari yang sama.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu membawa kepada penemuan sebanyak 115 pokok bonzai kayu hitam, 3,000 pokok bunga melur, 5,000 pokok bunga papan dan 3,000 pokok bunga cina yang disyaki diseludup dari Thailand.

“Pemandu lori tersebut yang berusia 42 tahun dipercayai sedang dalam perjalanan untuk menghantar kesemua tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Perak.
“Nilai rampasan termasuk lori dipandu suspek dianggarkan bernilai RM2.42 juta,” ujarnya.
Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua pemandu lori dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5. – KOSMO! ONLINE