AMPANG JAYA – Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dilaporkan terjatuh dalam longkang ditemui hadapan dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Cheras Baru, petang semalam, ditemui maut, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira enam kilometer dari lokasi terjatuh.
“Mangsa dijumpai di Sungai Kerayong Taman Cheras Indah kira-kira pukul 11.20 pagi tadi.
“Kanak-kanak tersebut disahkan maut dan mayat akan dibawa ke forensik Hospital Ampang untuk bedah siasat,” katanya.
Semalam media melaporkan kanak-kanak tersebut jatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan dengan air deras kira-kira pukul 4.23 petang.
Pada awalnya, mangsa dipercayai terjatuh bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu sempat berpaut pada paip dalam longkang sebelum diselamatkan orang awam.
Oleh kerana cuaca buruk berlarutan ke waktu malam semalam, operasi mencari dan menyelamat terpaksa ditangguhkan ke pagi ini.
Sementara itu, menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, seramai 15 anggota berserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras dan BBP Jalan Tun Razak telah terlibat dalam operasi tersebut. -KOSMO! ONLINE