BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Hansi Flick enggan menyalahkan barisan pemain selepas tewas 2-3 kepada Villarreal kerana apa yang penting pasukannya sudah selamat menjulang trofi La Liga pada musim ini.
Pada aksi di Stadium Olimpik itu, skuad Barcelona berjaya meraih gol menerusi ledakan Lamine Yamal dan Fermine Lopez tetapi pasukan pelawat lebih unggul dengan menjaringkan gol hasil penyudah Ayoze Perez, Santi Comesana dan Tajon Buchanan.
Keputusan tersebut menyaksikan The Catalan mengalami kekalahan pertama sejak Disember lepas sekali gus mengakhir rekod 17 aksi domestik tanpa tewas.
Kata Flick, barisan pemain sudah kepenatan selepas mengesahkan kejuaraan liga pada minggu lalu dengan sebahagian besar pemain utama sudah ‘berparti’ lebih awal.
“Saya tidak ada masalah dengan keputusan ini kerana sekarang adalah masa untuk pemain meraikan kejayaan. Apa yang kita pamerkan sejak lima bulan terakhir sangat luar biasa dan mereka berhak untuk bergembira,” katanya.
Mengulas lanjut, Flick akui sudah mengatur strategi untuk mendominasi saingan musim depan dengan menandatangani pemain-pemain lebih berkualiti apabila jendela perpindahan dibuka nanti.
“Kita memiliki ramat pemain hebat musim ini seperti Lamine Yamal, Pedri, Frenkie de Jong dan Raphinha. Namun, saya akan cuba berbincang dengan pengarah sukan kami, Deco untuk menilai semula kekuatan pasukan ini,” katanya. – AGENSI