SEBERANG PERAI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menyita 51.3 tan produk ikan sejuk beku yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi dan ayam dari China.
Ia susulan pemeriksaan yang dijalankan di Terminal Kontena Butterworth Utara selepas Maqis mendapati dokumen import dagangan mengandungi maklumat yang mengelirukan.
Menurut kenyataan Maqis, barangan yang diisytiharkan sebagai ‘frozen cuttlefish intestines’ berbentuk sosej sejuk beku, frozen cuttlefish balls’ dan ‘frozen cuttlefish tofu’ telah disahkan oleh Jabatan Kimia bahawa mengandungi DNA babi dan ayam bercanggah dengan deklarasi asal dalam dokumen import.
Sehubungan itu, konsainan dagangan yang bernilai lebih RM63,000 itu disita sepanjang tempoh siasatan di bawah Seksyen 13 Akta Maqis 2011 kerana mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan.
“Pengimport telah dikenakan kompaun dan barangan dagangan telah dilupuskan mengikut tindakan penguatkuasaan yang diperuntukkan di bawah akta sama,” katanya. -KOSMO! ONLINE