LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mencabar pihak pengurusan tertinggi pasukan itu untuk melakukan ‘apa yang sepatutnya dilakukan’ oleh mereka pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United kelmarin menyaksikan Arsenal berjaya mengesahkan kedudukan naib juara Liga Perdana Inggeris dan meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara.
Musim ini menyaksikan The Gunners buat kali ketiga berturut-turut sekadar muncul pasukan di tempat kedua terbaik dan gagal merangkul kejuaraan sekali gus memberi tekanan untuk mereka terus membawa masuk pemain baharu bagi mengukuhkan skuad.
“Kami harus lebih bijak dalam membuat keputusan. Sudah tentu kami perlukan pemain baharu kerana kami masih kekurangan pemain. Kami juga memiliki empat atau lima pemain yang akan mengakhiri kontrak dan pemain pinjaman yang akan kembali ke pasukan masing-masing.
“Kami perlu memastikan pasukan akan menjadi lebih kuat musim depan. Kami sudah mempunyai perancangan, namun beberapa perkara bukan dalam kawalan kami.
“Saya percaya kami memiliki individu hebat dalam lembaga pengarah kelab dan pemilik. Mereka pasti akan melakukan segala-galanya untuk memastikan kelab ini berada di landasan tepat,” katanya.
Sumber memberitahu, Arsenal dilapor bersedia untuk mendapatkan khidmat Martin Zubimendi dari Real Sociedad selain sedang memantau beberapa nama lain termasuk, Nico Williams, Benjamin Sesko, Viktor Gyokeres dan Alexander Isak. – AGENSI