GEORGE TOWN – Sebutir bom lama dipercayai tinggalan era Perang Dunia Kedua ditemui di sebuah tapak projek pembinaan di Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan objek berbahaya itu sekitar pukul 9.42 malam sebelum segera mengerahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan oleh pasukan UPB mengesahkan objek itu merupakan sebutir bom jenis unexploded ordnance (UXO) yang tidak meletup, dipercayai tinggalan zaman Perang Dunia Kedua.
“Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, UPB akan melaksanakan proses pelupusan bom berkenaan pada hari ini dan lokasi kejadian telah disahkan selamat. – KOSMO! ONLINE