PEREJAM No. 1 negara, Azlan Alias mengakui dia memilih untuk kekal meneruskan aksi ketika final acara berpasukan Piala Asia 2025 menentang Thailand kelmarin biarpun mengalami kecederaan serius di bahagian siku kerana mahu berjuang demi negara.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu, Azlan bersama Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) berjuang habis-habisan, tetapi terpaksa akur dengan kekalahan 15-11, 12-15, 17-15 dalam pertarungan lebih dua jam.
“Selagi saya tak mati, selagi saya tak patah tangan, selagi itu saya akan berjuang demi pasukan. Saya tak boleh tengok kawan-kawan saya sakit. Saya tahan juga sebab bagi saya Malaysia itu penting.
“Kali kedua jatuh, saya memang rasa nak keluar, tapi saya lawan lagi sebab saya rasa saya masih mampu. Tapi, rezeki tak menyebelahi kami pada perlawanan kali ini,” katanya.
Azlan turut mendedahkan kecederaan pada sikunya agak teruk apabila sendi itu ‘terbalik’ dan terpaksa dibetulkan semula secara manual dengan bantuan petugas Institut Sukan Negara (ISN).
Meskipun kecewa gagal membawa pulang kejuaraan, Azlan tetap bersyukur kerana pasukan layak ke final dan memberi bayangan untuk bangkit semula di Piala Raja Thai dan Sukan SEA hujung tahun ini.
Trio negara itu terpaksa akur dengan kehebatan Thailand selepas tewas 0-2 selepas Jakkrit Thinbangbon, Sutthikiart Panseankaew dan Wuttinun Kamsanor menewaskan trio yang diketuai Azlan.
Langkah Malaysia untuk mencari mata kemenangan tidak berhasil apabila regu kedua negara turut gagal untuk mengekang kebangkitan skuad Gajah Perang tersebut.
Trio negara, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Farhan Adam tumpas 15-13, 13-15, 4-15 kepada skuad Thailand yang dibarisi Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.