fbpx

‘Abah orang terpilih, meninggal di tempat elok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARIFAH (depan, tengah) isteri kepada Allahyarham Abdullah (gambar kecil) ketika ditemui pada sidang akhbar di Abraj Al Janadriyah, Mekah hari ini.

MEKAH – “Sebenarnya saya tidak kuat sebab saya bergantung semua dengan suami, semua dia buat. Umpama bila tiada dia macam tidak ada sebelah sayap saya.”

Demikian ujar Sarifah Hassan, 57, isteri Allahyarham Abdullah Mat, 59, jemaah kedua dari Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci ketika melakukan tawaf sunat Subuh semalam.

Sarifah berkata, apa yang meredakan kesedihannya ketika ini adalah semangat daripada empat anak yang berada di Malaysia.

“Anak-anak cakap Ma (Sarifah) kuat Ma tak payah bimbang, abah orang yang terpilih, Allah pilih dia ‘pergi’ di tempat molek (elok).

“Mereka juga ucap abah ‘duduk’ di tempat elok, Ma kena kuat, kami (anak-anak) tunggu Ma balik,” kongsi Sarifah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ketika kejadian Abdullah yang ditemani empat rakan sebilik iaitu Ashri Mohamed, 52, Napi Ab. Kadir, 59, Mazlan Mahasan, 55, dan Aziz Isa, 63, selesai pusingan kelima menunaikan tawaf sunat di aras 1 Masjidil Haram.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada pukul 4.15 pagi kira-kira seminit sebelum azan subuh berkumandang.

Cerita Sarifah, dia menerima panggilan telefon daripada pihak Hospital Jiwar, Jabal Qamar, di sini selepas subuh yang memaklumkan Allahyarham suaminya sudah ‘tiada’.

“Pemanggil memaklumkan ‘sabar puan, suami puan sudah tiada’. Saya amat terkejut, saya hempas telefon, menangis peluk kawan-kawan,” ujarnya hiba.

Katanya, suaminya yang mempunyai sakit saraf mata kelihatan gembira sepanjang berada di Tanah Suci lebih-lebih lagi mendapat rakan sebilik yang sangat prihatin dengan keadaan kesihatannya.

“Ketika di Malaysia, arwah cakap depan anak-anak, ‘Ma jangan tinggal abah ya’. Kalau jauh memang (mata) dia tidak nampak. (Sarifah cakap) Tak apalah Mama tak tinggal.

“Di sini dia dapat kawan-kawan satu bilik, satu negeri pula (Kelantan). Yang lain muda, dia macam bergantung harap dengan rakan-rakan sebilik. Saya tanya abah okay tak? Dia jawab okay,” katanya.

Menurut wanita itu, empat rakan sebilik Abdullah itu akan membentuk bulatan dengan arwah suami berada di tengah berikutan masalah mata yang dihadapi lelaki itu.

“Suami saya akan bergerak (menunaikan ibadah) dengan ‘team’, manakala saya pula bersama ‘team’ isteri. Itulah ketentuan yang Tuhan atur untuk saya. Memang hati ini reda, cuma masih terkejut.

“Dia memang tiada sakit, sihat sahaja. Anak kami (anak kedua seorang doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu) turut memantau kesihatannya, memang tiada apa-apa,” katanya.

Tambahnya, Allahyarham merupakan suami yang baik serta bapa penyayang selain suka bersedekah dan gemar membantu orang.

Abdullah yang berasal dari Kampung Landar, Jalan Slow Machang, Pasir Mas berkhidmat di Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, Tunjong, Kota Bharu turut meninggalkan empat anak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI