ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 14 buah masjid dan 37 surau di seluruh Johor yang dikenal pasti dan dikategorikan kritikal akan dibaik pulih melibatkan kos sebanyak RM4.7 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, peruntukan itu menggunakan wang Tabung Pembangunan Masjid dan Surau Negeri Johor yang diwujudkan pada tahun 2020.
Katanya, antara objektif tabung itu adalah untuk memelihara dan mempertingkat keadaan fizikal serta infrastruktur masjid dan surau kariah yang diluluskan kerajaan negeri.
“Bagi tahun 2025 sehingga kini, jumlah kutipan yang diperoleh adalah sebanyak RM1,891,425 yang mana sebahagian besar sumbangan adalah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan orang ramai.
“Manakala Tabung Wakaf Rakyat Johor yang ditubuhkan pada 2016 bagi pembangunan wakaf negeri Johor, wakaf tunai, ekonomi dan kesihatan menjana kutipan sebanyak RM12 juta setakat tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd. Fuad Tukirin (BN-Bukit Naning) berhubung kerja-kerja baik pulih masjid dan surau rosak termasuk di Masjid Al-Redzuan Kampung Sri Dalam ketika sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Mohd. Fared memberitahu, antara inisiatif yang dilaksana menggunakan wang tabung itu termasuk pembinaan sebuah masjid di Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai, membaik pulih masjid dan surau sekolah, membeli van jenazah serta program pembangunan pendidikan dan intervensi di sekolah-sekolah agama. – KOSMO! ONLINE