GEORGE TOWN – Seluas 150 ekar tanah daripada 2,300 ekar atau hampir 6.5 peratus telah berjaya ditambak setakat April lalu selepas kerja-kerja penambakan Pulau Silikon bagi projek Penang South Islands (PSI) bermula September 2023.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, penambakan yang dilaksanakan dalam dua fasa itu akan mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
“Jumlah keluasan keseluruhan Pulau Silikon adalah sebanyak 2,300 ekar dan kerja-kerja penambakan terbahagi kepada dua fasa.
“Fasa Satu melibatkan kerja-kerja tebus guna tanah seluas 1,260 ekar manakala Fasa Dua akan melibatkan baki 1,040 ekar,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Zairil (DAP-Tanjong Bungah) menjawab Muhammad Kasim (Bersatu-Teluk Bahang) yang mahu kerajaan negeri menyatakan berapa peratus penambakan yang dijalankan di Pulau Silikon.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, projek tambakan itu tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah kerana dijalankan sepenuhnya di kawasan laut.
Bagaimanapun, katanya, pembinaan Lebuh Raya Pan-Island Link 2A (PIL2A) Fasa 1 yang menghubungkan Batu Maung ke Pulau Silikon telah melibatkan pengambilan tanah di kawasan Permatang Damar Laut. – KOSMO! ONLINE