PETALING JAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyampaikan suara pendidikan tinggi Malaysia di Mesyuarat Menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Tehran hari ini.
Zambry dalam hantaran di Facebook berkata, beliau akan menyampaikan kenyataan berkenaan “Scientific Excellence of the Islamic World Innovations in Artificial Intelligence Technologies” pada mesyuarat berkenaan.
“Mohon doa agar segalanya berjalan lancar dan deklarasi yang dicapai memberi manfaat kepada masyarakat dunia,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau selamat tiba di Iran untuk memenuhi jemputan ke Mesyuarat Menteri OIC mengenai Sains, Penyelidikan, Teknologi dan Pendidikan Tinggi.
Beliau menyampaikan kenyataan mewakili Malaysia pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia.
Dalam satu hantaran berbeza, beliau juga memaklumkan kementeriannya akan mengadakan Festival of Ideas (FOI) pada tahun ini dan akan menjemput bersama rakan-rakan dari Russia serta negara-negara OIC untuk turut serta dalam FOI pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE