PETALING JAYA – Seorang anak gadis dari Muar yang berasal daripada keluarga susah kini bergelar seorang doktor perubatan, selepas melalui liku-liku kehidupan terutama dalam mencari dana pengajian.
Kisah gadis tersebut dikongsikan oleh aktivis masyarakat terkenal, Kuan Chee Heng atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ menerusi catatan di Facebooknya.
Uncle Kentang menceritakan detik awal pertemuannya dengan gadis bernama Lim Jia Jia pada tahun 2020 lalu dengan satu harapan untuk mendapatkan tajaan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.
“Dia memperoleh 10A dalam peperiksaan. Dia pernah mendapat biasiswa, tetapi ditawarkan dalam bidang yang tidak diminatinya. Dia menolak biasiswa itu dan saya rasa dia tidak dapat peluang kedua untuk biasiswa dalam bidang perubatan.
“Bapanya (jika saya tidak silap, seorang pemandu lori atau kerja buruh) pula tidak mempunyai wang untuk membiayai pengajian perubatan di universiti swasta,” katanya.
Menurut Uncle Kentang, Jia Jia datang sendirian dari Muar, Johor ke Bandar Puteri, Puchong menaiki pengangkutan awam dan menaruh harapan terakhir kepadanya untuk membantu.
“Keesokan harinya, kami ke pejabat Datuk Seri tersebut di Setiawalk. Kami terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum dapat berjumpa beliau. Beliau tanya saya, berapa kos untuk belajar perubatan.
“Saya telefon sahabat saya, Prof Jalil dari Management & Science University (MSU), dan beliau memaklumkan kosnya sekitar RM324,000 pada waktu itu. Saya mohon sedikit diskaun, dan saya percaya pihak universiti bersetuju memberikan diskaun kepadanya. Datuk Seri melalui yayasannya bersetuju untuk membiayai kos tersebut,” katanya.
Uncle Kentang memberitahu, selepas bertahun menempuh pengajian serta cabaran belajar semasa Covid-19, Jia Jia telah berjaya menamatkan pengajiannya dan sedang berkhidmat sebagai pegawai perubatan siswazah (houseman) di Hospital Sungai Buloh.
Dalam pada itu, Uncle Kentang sempat menitipkan pesanan kepada pengikutnya agar sentiasa berbuat baik kepada orang lain.
“Saya ini bukan siapa-siapa. Tapi hari ini, saya dapat buat ibu dan ayah orang lain berbangga. Kalau kita rasa diri kita tidak berguna, paling kurang bantu orang lain untuk menjadi berguna pada masyarakat.
“Saya bercampur dengan orang yang ramai anggap jahat. Tapi orang yang kamu anggap jahat inilah yang bantu anak-anak miskin jadi jurutera, peguam, akauntan dan doktor,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE