JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial memaparkan sekumpulan penduduk di Banyuasin, wilayah Sumatera Selatan berebut-rebut mengambil pelbagai barangan dapur daripada sebuah lori yang terbalik akibat kemalangan, lapor laman berita Ayo Palembang semalam.
Dalam video tersebut, lori berwarna hijau itu dilihat terbalik di tepi jalan ketika ia dihampiri beberapa penduduk.
Mereka tidak membantu pemandu lori, sebaliknya berebut-rebut mengambil kotak yang terjatuh di atas jalan serta di dalam lori.
Sebilangan penduduk memanjat masuk ke bahagian belakang lori untuk mengambil kotak yang mengandungi pelbagai jenis barangan dapur.
Ada antara mereka yang mengisi kotak di atas motosikal sehingga penuh, malah ada juga yang memasukkan kotak ke dalam kereta masing-masing.
“Ambillah jika tidak tahu malu,” kata perakam video.
“Keluarlah! Pencuri!” tambahnya sambil menyuruh individu yang memunggah belakang lori untuk keluar.
Meskipun ditegur dan dimarahi, mereka tidak mengendahkan, malah terus rakus melarikan barangan bukan milik mereka.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Memalukan! Bukannya membantu, sebaliknya melarikan barangan tanpa rasa simpati,” kata seorang netizen. – AGENSI