KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merancang menggunakan kepakaran dalam Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) bagi membantu siasatan lanjut dan usaha pemulangan aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Kumpulan kerja tersebut yang dipengerusikan oleh SPRM turut melibatkan Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Institut Akauntan Malaysia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk memanfaatkan kepakaran ahli kumpulan kerja berkenaan kerana siasatan kes 1MDB yang sangat rumit dan membabitkan pelbagai aset.
“Saya akan ke arah itu… sebab siasatan ini very messy (sangat berselirat), bukan satu keadaan yang mudah.
“Saya tak boleh dedahkan secara terperinci sekarang, tetapi banyak harta yang saya katakan dalam bahasa mudah dicuri ini berada di luar negara, dalam negara pada saya sudah done (selesai),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran KKFP di sini, hari ini.
Menurut beliau, kepakaran dalam kumpulan kerja itu amat diperlukan kerana siasatan melibatkan aspek pengesanan aset, analisis forensik kewangan dan kerjasama dengan pihak luar negara.
“Kepakaran-kepakaran ini akan digunakan. Banyak perkara terlibat pertama, melibatkan pengesanan, analisa dan sudah tentu kerjasama daripada pihak luar negara.
“Bukan semua tempat kita (SPRM) ada hubungan langsung, jadi daripada kumpulan kerja ini, saya percaya mereka juga boleh beri bantuan kepada kami (SPRM menjalankan siasatan),” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya terdapat kes yang kukuh, SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
“Dalam hal kita melaksanakan tindakan ini, kerjasama daripada kumpulan pakar ini sangat penting,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE