PETALING JAYA – Nekad meninggalkan kerjaya selesa bersama sebuah syarikat pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah semata-mata mahu mengusaha dan memiliki perniagaan sendiri.
Itulah kecekalan lelaki berasal dari Terengganu itu yang akhirnya membuahkan hasil apabila syarikat berasaskan makanan pek segera di bawah jenama Sumatraa bukan sahaja terkenal di dalam negara, malah turut mendapat permintaan di pasaran antarabangsa.
Pengarah Urusan Sumatraa Industries Sdn. Bhd. (Sumatraa), Syaifullah Ghani, 36, berkata, hanya bermodalkan RM1,500 pada tahun 2021 dan mengoperasikan perniagaannya hanya dari rumah di Puncak Alam, kini perusahaaan yang dibangunkan bersama isteri, Nornine Afifie mampu menggajikan 11 orang pekerja.
Bercerita tentang permulaan perniagaan, idea tercetus untuk menubuhkan Sumatraa itu bermula ketika sektor pelancongan mengalami kemerosotan agak ketara ekoran pandemik melanda negara.
“Waktu itu, saya cuba mencari alternatif untuk menyara keluarga melalui perniagaan baharu, maka tercetuslah idea untuk menjual produk siap untuk di makan (ready to eat) dan sebagai permulaan saya buat produk sambal daging dendeng.
“Ketika itu, fokus kami hanyalah berniaga secara online di Shopee dan TikTok. Tak sangka rezeki kami, produk tersebut mula tular dan mendapat sambutan baik di TikTok, bersandarkan permintaan dan pertanyaan daripada pelanggan saban hari, kami nekad untuk mengembangkan lagi perniagaan ini.
“Pada masa sama, kami turut mempelbagaikan produk baharu antaranya rendang daging, ayam dan sambal kerang. Secara keseluruhannya, kini kami mempunyai 12 produk di pasaran,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Syaifullah menjelaskan, kejayaan menghasilkan produk baharu serta peningkatan produk sedia ada turut dibantu melalui suntikan pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Rural Capital Berhad (RCB) sebagai ejen pelaksana.
Jelasnya, dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM200,000 yang diterimanya, usahawan ini telah membeli beberapa mesin baharu sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran produk syarikat.
“Bermodalkan pembiayaan daripada SPED-RCB ini saya dapat membeli sebuah mesin retort dan membuat permohonan untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajian Islam Malaysia (Jakim).
“Mesin ini juga sangat membantu usahawan di kawasan Puncak Alam untuk memproses makanan mereka menggunakan kaedah retort supaya makanan lebih tahan lama,” ujarnya.
Beliau juga bersyukur dan berterima kasih kepada RCB kerana dengan bantuan perniagaan tersebut, jenamanya kini mampu berkembang sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara.
“Kita telah bawa produk Sumatraa ini ke beberapa ekspo dan acara di luar negara termasuk di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai dan China.
“Penerimaan terhadap produk kami amat menggalakkan semasa ekspo terbabit.
“Sebelum ini juga ada usahawan dari Arab Saudi mahu membekalkan kira-kira 200,000 pek produk syarikat dalam tempoh 40 hari.
“Bagaimanapun kita tidak mampu memenuhi permintaan tersebut akibat kekangan peralatan, kakitangan serta fasiliti kilang sedia ada yang kecil,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.
Mengulas lanjut, Syaifullah menerangkan, potensi pasaran makanan pek siap makan di luar negara ketika ini amat menggalakkan terutamanya untuk segmen halal.
“Saya memiliki perancangan untuk membuka satu lagi kilang di kampung halaman saya di Terengganu supaya pengeluaran produk saya ini dapat menampung permintaan terutamanya untuk pasaran luar negara.
“Ini kerana melalui kilang sedia ada ini, ia hanya cukup untuk penuhi pasaran dalam negara sahaja. Buat masa ini paling maksimum kami mampu hasilkan kira-kira 4,000 pek makan sehari sahaja.
“Jika ada agensi kerajaan yang boleh bantu kami kembangkan (tambah fasiliti), perancangan untuk meluaskan pasaran ke luar negara dapat direalisasikan pada masa depan,” katanya sambil menambah, purata jualan syarikat antara 20,000 hingga 25,000 pek setiap bulan.
Syaifullah berkata, nama Sumatraa diambil daripada dialek negeri asalnya Terengganu iaitu bermaksud ‘semua kena try’.
“Kami juga mempunyai lebih 500 ejen di seluruh negara ketika ini yang membantu mempromosikan produk secara online.
“Kami juga bersedia untuk membekalkan makanan siap dalam pek kepada pihak agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan yang berminat untuk mendapatkan makanan sedia di makan ini,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE