fbpx

Siti Bainun kemuka notis usul laporan polis Ismanira, saksi pendakwaan kes Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haijan (kiri) ketika ditemui selepas prosiding hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali telah mengemukakan notis usul bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Rayuan hari ini.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun berkata, afidavit baharu itu adalah satu laporan polis yang dibuat ibu kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf pada 25 Julai 2024.

Katanya, selain notis usul berhubung Ismanira, pihaknya juga turut memasukkan afidavit salah seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes Siti Bainun sebelum ini.

“Pihak perayu (Siti Bainun) mengemukakan permohonan bukti baharu memohon supaya dibenarkan memanggil Ismanira untuk memberi keterangan lanjut berhubung laporan polis yang dibuat serta kebenaran memanggil semula saksi pendakwaan kelima untuk ‘further cross’ (pemeriksaan lanjutan),” katanya.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa mengesahkan telah menerima notis usul yang dikemukakan pihak perayu dan akan membalas notis usul tersebut.

“Siasatan laporan polis akan dijalankan. Kita akan lihat perkembangan,” kata Asmah.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah kemudian menetapkan 3 Jun Jun ini bagi pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran.

“Pada hari sama, mahkamah turut akan mendengar rayuan (ketepi sabitan) yang dikemukakan pihak perayu,” kata Hakim Azman.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr. Choo Kah Sing.

Semasa prosiding Siti Bainun yang kelihatan kurus hadir dengan berjubah diiringi pegawai penjara ke mahkamah.

Siti Bainun, 33, memfailkan rayuan akhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun lalu.

Pada 2 Mei tahun lalu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar rayuan berhubung sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Sebelum itu, pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI