MIRI – Penyanyi Stacy Anam kagum melihat usaha suaminya, Akim Ahmad yang nekad berhenti merokok demi kesihatan selepas bapa mentuanya disahkan menghidap kanser paru-paru.
Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, berkata, perjalanan untuk suaminya berhenti merokok bukan satu hal yang mudah tetapi berjaya dilakukan kerana memiliki jiwa yang kental demi kesihatan keluarga tercinta.
“Dia banyak bising tetapi perjalanan dia menjadi Akim Ahmad dan uruskan hal keluarga serta muzik memang sangat cantik. Berhenti merokok memang pilihan dia sendiri.
“Saya gembira melihat dia sudah berhenti merokok. Pada awal dia nak berhenti, Akim suka membebel sampai sakit telinga juga tetapi biasalah semuanya berlaku berperingkat,” katanya kepada Kosmo! Online selepas Konsert MeleTOP TVS di sini, baru-baru ini.
Ditanya tentang keadaan kesihatan bapanya ketika ini, Stacy berkata, dia tidak mempunyai kapasiti untuk berkongsi secara terperinci mengenai hal tersebut kepada umum meski sudah menganggap bapa mentua seperti ayahnya sendiri.
“Kalau tanya keadaan terkini kesihatan bapa mentua, biarlah Akim sendiri yang kongsi kepada umum. Saya dan Akim sudah letakkan limit mengenai hal sebegitu.
“Emosi mental Akim memang terganggu ditambah dengan urusan menjaga keluarga sendiri dan persiapan konsert yang bakal kami jalani.
“Cuma sebagai isteri, saya harap dia kuat dan bersabar dalam menjalani kehidupan sebagai seorang anak, suami dan bapa yang terbaik, saya yakin dia boleh lakukannya,” jelasnya.
Terdahulu, Akim mendedahkan memilih untuk berhenti merokok selepas bapanya disahkan menghidap kanser paru-paru setahun lalu. – KOSMO! ONLINE