JOHOR BAHRU – Johor merekodkan sebanyak 7,306 kes perceraian pada tahun lalu, tertinggi dalam tempoh enam tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 132 berbanding 7,174 kes pada tahun 2023.
Katanya, antara punca penceraian yang direkodkan adalah tiada persefahaman, masalah kewangan, pasangan tidak bertanggungjawab, gangguan pihak ketiga dan campur tangan luar (mentua atau ipar duai).
“Tuntutan atau permohonan perceraian naik daripada 4,042 kes pada 2023 kepada 4,264 kes tahun lalu. Tuntutan pengesahan lafaz cerai turut meningkat dari 2,416 kepada 2,462 kes bagi tempoh sama.
“Bagi tuntutan fasakh, ia mencatatkan penurunan daripada 675 kes pada 2023 kepada 545 kes tahun lalu. Tuntutan pengesahan cerai taklik turut berkurang daripada 33 kepada 27 kes,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama (pembukaan rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Terdahulu, Marina Ibrahim (PH-Skudai) bertanyakan mengenai data daripada Pejabat Agama berkaitan kes kegagalan tuntutan nafkah apabila berlaku penceraian.
Menurut Mohd Fared (BN-Semerah), pasangan berusia 26 hingga 35 tahun merupakan kelompok tertinggi bercerai sejak 2019 hingga 2024 dengan jumlah keseluruhan 16,159 kes.
Katanya, Majlis Agama Islam Negeri Johor menyediakan bantuan nafkah kepada bekas isteri yang layak sementara menunggu proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah.
“Sejak 2012 sehingga Ogos 2023, Bahagian Sokongan Keluarga menyalurkan bantuan nafkah sebanyak RM77,400 kepada pihak yang layak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE