BATU PAHAT – Seorang pemotong rumput direman tiga hari bermula hari ini selepas disyaki menikam bapa saudaranya sebanyak lima kali menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Semerah di sini, semalam.
Perintah reman ke atas suspek berusia 35 tahun dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku apabila bapa saudaranya berusia 52 tahun datang ke rumah suspek kerana menuduhnya menceritakan keburukan kepada orang lain.
Ketika kejadian, suspek bersama adik lelaki berusia 26 tahun berada di dapur rumahnya dan sedang memotong bawang untuk memasak sebelum tercetus pergaduhan.
Kemucaknya apabila mangsa mengambil lesung mahu membelasahnya. Namun, suspek terus mencapai pisau pemotong sayur yang kebetulan berada di sebelahnya, lalu menikam bahu dan pergelangan tangan kiri mangsa.
Tikaman itu menyebabkan mangsa berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) akibat kecederaan dialaminya.
Mangsa pada ketika ini masih menerima rawatan di HSNI dan keadaannya dilaporkan stabil. – KOSMO! ONLINE