TELUK INTAN- Rakan-rakan pemandu lori muatan batu yang terbabit dalam kemalangan tragis mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu akan mencari peguam bagi mewakili lelaki itu.
Rakannya yang mahu dikenali sebagai Fizey, 36, berkata, pihaknya telah berhubung dengan beberapa peguam bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
“Buat masa ini ada beberapa peguam yang kami telah berhubung dan insya-Allah akan lantik peguam,” katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan Mahkamah Teluk Intan di sini hari ini.
Terdahulu, Fizey dan majikan Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, hadir di mahkamah untuk membayar ikat jamin sebanyak RM6,000 yang diperintahkan oleh Mahkamah Majistret pada Jumaat lalu.
Tertuduh yang dibebaskan pada pukul 12 tengah hari bagaimanapun ditangkap semula 20 minit kemudian bagi membantu siasatan kes kecurian lembu bersabit laporan di Hutan Melintang.
Fizey berkata, pembayaran ikat jamin rakannya itu dibuat hasil sumbangan orang ramai termasuk wanita dikenali sebagai Azwani yang memberikan wang RM6,000.
“Bagaimanapun, pagi tadi setelah berbincang dengan Ravi (majikan), dia pun ingin menjamin Rudi, jadi kami setuju untuk dia jamin bagi enam pertuduhan, manakala kami pula jamin lagi tiga pertuduhan.
“Baki wang sumbangan itu akan diserahkan kepada Rudi untuk persediaan pelbagai urusan selepas ini termasuk kos guaman. Kita tahu lesen memandu digantung, jadi dari mana dia mahu cari wang untuk bayar peguam,” katanya.
Fizey berkata, pihaknya ralat dengan penahanan semula lelaki itu namun menyerahkan siasatan penuh kepada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE