KETUA jurulatih baharu skuad wanita kebangsaan, Joel Cornelli mahu jentera serangan pasukan dapat diperbaiki pada dua aksi persahabatan sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia Wanita 2026, Jun depan.
Cornelli berkata, dua aksi tersebut cukup penting bagi memastikan barisan pemain memahami falsafah bola sepak yang cuba diterapkan selepas dilantik bagi menggantikan Soleen Al-Zoubi pada minggu lalu.
“Kita akan mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan yang cukup penting dan saya akan pastikan mereka dapat menyesuaikan diri segera dengan taktikal saya.
“Mengenai lawan yang kita hadapi, Bhutan dan Hong Kong adalah ujian bagi memastikan sejauh mana pasukan mampu bersaing sebelum mengharungi aksi kelayakan nanti.
“Secara peribadi, saya telah melihat beberapa klip rakaman perlawanan pasukan yang lepas dan kelemahan utama ketika ini adalah untuk meledak gol.
“Saya akan cuba gunakan masa yang ada untuk perbaiki kelemahan tersebut dan memulihkan ketajaman jentera serangan pasukan,” kata pengendali kelahiran Brazil itu.
Skuad wanita negara akan memulakan kem latihan pusat bermula esok sebagai sebahagian daripada persiapan pasukan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia Wanita 2026 yang bakal berlangsung pada 23 Jun hingga 5 Julai 2025 di Dushanbe, Tajikistan.
Skuad Malayan Tigress akan turun pada aksi pertama menentang Hong Kong pada 31 Mei dan Bhutan pada 3 Jun di Stadium Changlimithang, Bhutan.