BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akui Liga Malaysia (Liga M) kini berada dalam zon kritikal dan berisiko akan ‘mati’ sekiranya tiada langkah drastik diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Khairy yang pernah menjadi individu penting kepada penubuhan kelab MyTeam sebelum ini akui trend semasa bola sepak negara seakan menuju ke arah lebih negatif hingga ada pasukan besar mula hancur kerana gagal memenuhi tuntutan perbelanjaan semasa.
“Dulu ketika saya mengurus pasukan MyTeam dalam liga, bajet tidak besar dalam RM3 juta hingga RM4 juta setahun, namun sekarang ini saya rasa RM3 juta atau RM4 juta tidak dapat nak menguruskan pasukan dalam liga. Kita perlukan lebih daripada itu, paling kurang RM20 juta.
“Apabila kerajaan negeri pun sudah tidak bagi dana, penaja enggan beri tajaan, sebab kalau kita pergi tengok stadium pun, siapa yang menonton? Ia sudah jadi putaran ganas. Kita melihat semakin banyak pasukan yang tidak mampu untuk berada di dalam liga dan saya nampak sudah sampai ke tahap yang agak kritikal.
“Kalau pasukan gergasi pun sudah angkat tangan, kata mereka tidak mahu beraksi dalam liga tempatan, jadi ada sesuatu yang tidak betul. Sudah tentu saya setuju dengan pandangan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang mengatakan bahawa mengurus pasukan itu ikut kemampuan,” katanya.
Ketika ini, status sebenar penyertaan pasukan dalam Liga M masih lagi menjadi tanda tanya kerana First Instance Body (FIB) memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan semakan terhadap permohonan pasukan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Sebelum ini beberapa pasukan besar seperti Kelantan, Sarawak sudah pun tiada dalam peta penganjuran Liga M dan kini status penyertaan Perak, Sri Pahang dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih lagi menimbulkan persoalan. – KOSMO! ONLINE