JAKARTA – Sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus hari ini, memuntahkan awan abu lebih 1 kilometer ke langit selepas pihak berkuasa menaikkan paras amaran ke tahap tertinggi.
Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak di pulau pelancongan Flores, meletus sejurus selepas tengah malam, menghamburkan awan abu setinggi 1.2 kilometer, kata agensi vulkanologi Indonesia.
Gunung berapi itu meletus sekali lagi pada pukul 9.36 pagi (waktu tempatan), demikian menurut agensi itu.
Letusan terbaru menyusul selepas pihak berkuasa menaikkan tahap amaran gunung berapi berkembar setinggi 1,584 meter itu ke paras tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat negara semalam.
“Aktiviti Gunung Lewotobi Laki-Laki masih tinggi. Potensi untuk letusan lebih besar berlaku ada,” kata ketua agensi geologi Indonesia, Muhammad Wafid dalam amarannya semalam.
Siri letusan semalam memuntahkan abu setinggi 6 kilometer dari puncak Lewotobi Laki-Laki, demikian menurut agensi vulkanologi.
Wafid menggesa penduduk sekitar memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada abu gunung berapi, sambil memberitahu orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius sekurang-kurangnya 6 kilometer dari kawah gunung itu.
Pada November tahun lalu, Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus beberapa kali, membunuh sembilan orang dan memaksa berpuluh-puluh penerbangan antarabangsa ke Bali dibatalkan, manakala beribu-ribu orang turut diarahkan berpindah. – AFP