PETALING JAYA – Setiap kali berkongsi jalan dengan lori atau treler, pemandu kenderaan ringan diingatkan agar lebih berhati-hati dan tidak bertindak secara tergesa-gesa terutama melakukan brek secara mengejut.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi perkongsian di Facebook berkata, kemalangan membabitkan kenderaan berat dan ringan sering berakhir dengan tragedi yang buruk.
Menurut PHM, ini kerana dari segi fizikal, berat dan momentum, kenderaan ringan tidak mampu menandingi impak daripada kenderaan berat ketika ia sedang bergerak.
“Setiap kali nampak kenderaan berat di jalan raya, ingatlah satu perkara kita ini hanya ‘mentimun’. Hindari potong dari kiri, biar lori pergi dahulu dan jangan berada di titik buta (blind spot) kenderaan berat terbabit.
“Selain itu, elakkan berada terlalu lama berhampiran lori serta jangan mengejutkan lori dengan brek mengejut di hadapannya. Realitinya, dalam pertembungan antara kenderaan ringan dan kenderaan berat, yang remuk yang hancur hampir pasti kita (kenderaan ringan),” kata PHM.
Kata portal kesihatan itu, kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya terhadap kenderaan berat semakin meningkat berikutan beberapa kemalangan ngeri yang berlaku baru-baru ini.
“Sejak beberapa kes kemalangan membabitkan kenderaan berat makin ramai yang rasa cemas bila berdekatan dengan kenderaan berat. Dan rasa itu bukan lemah, itu tanda kita sedar, nyawa bukan barang mainan.
“Bila nampak kenderaan berat terlalu perlahan, potong dengan selamat.Kalau terlalu laju dan menghampiri, beri laluan.Jangan paksa, jangan lawan. Kita mungkin tak boleh kawal cara orang lain memandu, tapi kita boleh kawal cara kita melindungi diri,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE