BACHOK – Seorang pemilik spa dan salun kecantikan parah selepas diserang empat ’pelanggan’ termasuk tiga wanita berpurdah dengan cecair asid ketika berada di premisnya di pekan Beris Kubor Besar di sini kelmarin.
Kejadian mencemaskan pada pukul 8.30 malam itu menyebabkan mangsa berusia 27 tahun melecur di lengan kanan dan belakang badan.
Saksi kejadian dikenali sebagai Izati, 20, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar mangsa menjerit meminta tolong dan menyuruh orang awam menghubungi polis.
“Saya bergegas keluar dan mendapati seorang wanita yang memakai telekung menjerit meminta tolong sambil memegang tangan anaknya.
“Peniaga pasar malam berdekatan segera membantu dengan menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Izati memberitahu, dia melihat pemilik spa tersebut berlari ke klinik bagi mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa ada menerima janji temu daripada seorang pelanggan untuk rawatan mengurut di premisnya.
Sebaik wanita itu membuka pintu premisnya, suspek bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arahnya sebelum beredar.

Anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan yang melakukan siasatan menemui empat kesan cap jari di lokasi kejadian.
“Bekas yang digunakan oleh suspek untuk menyimbah cecair itu turut ditemukan di premis tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Mohamad Ismail memberitahu, ketika ini mangsa masih menerima rawatan dan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan mengikut Sekyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.
Dalam pada itu, suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan, 33, memberitahu, ekoran kejadian tersebut, pakaian isterinya terbakar, manakala lengan dan belakang wanita itu melecur teruk.
Katanya, ekoran kejadian itu, isterinya menjalani pembedahan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian pada pukul 10 pagi semalam.
“Setakat ini (4 petang semalam) dia masih berada dalam bilik bedah. Pembedahan dilakukan kerana kecederaan yang dialami isteri agak serius. Baju dan seluar yang dipakai ketika kejadian terbakar akibat terkena asid,” katanya.
Menurut lelaki itu, kebiasaannya isterinya tidak mengoperasikan spa pada waktu malam.
“Saya percaya suspek ada hubungi isteri untuk mengurut pada malam kejadian berlaku,” katanya.
Wan memberitahu, isterinya keluar dari rumah bersama anak mereka berusia tujuh tahun pada pukul 7.40 malam selepas selesai solat maghrib.
Cerita Wan, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum dihubungi oleh isterinya yang memaklumkan telah disimbah asid oleh sekumpulan individu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita.
“Saya bergegas ke kedai isteri dan mendapati orang ramai membantu membawanya ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapat rawatan.
“Dia (mangsa) memakai telekung ketika kejadian kerana pakaiannya terbakar.
“Isteri saya kemudian dirujuk ke HPUSM bagi mendapatkan rawatan lanjut. Isteri ada beritahu saya dia tidak mengenali suspek. Ini kali pertama mereka datang ke spa milik isteri,” katanya.














