SEREMBAN – Seorang bapa yang lumpuh sanggup keluar rumah dalam keadaan bertongkat untuk mencari anak perempuannya yang hilang ketika hendak ke sekolah sejak Khamis lalu.
Nurhidayah Jamalludin, 17, tidak pulang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung LB Johnson, Nilai, di sini dengan memakai uniform sekolah kira-kira pukul 7.15 pagi.
Bapa saudaranya, Mohd. Shazali Muhamad, 47, berkata, bapa kepada remaja perempuan itu yang mengalami ‘minor stroke’ dan tidak bekerja sering menangis memikirkan anak bongsu daripada lima beradik itu.
“Bapa dia kerap menangis apabila fikirkan Nurhidayah. Semalam dia keluar rumah dengan keadaan bertongkat kerana mahu mencari anaknya walaupun dalam keadaan macam itu.
“Ibunya pula walaupun tidak kuat dari segi emosi, namun gagahkan diri keluar mencari rezeki. Adik-beradiknya memang harapkan Nurhidayah pulang ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pada hari kejadian terdapat sebuah kereta yang tidak dikenali lalu dan membuat pusingan di hadapan rumah sebelum Nurhidayah hilang.
“Tidak lama selepas itu ibunya mendapati Nurhidayah lesap dan kereta itu juga sudah beredar. Kali terakhir Nurhidayah dilihat memakai baju sekolah,” ujarnya.
Mohd. Shazali berkata, pelajar tingkatan lima itu tidak membawa telefon bimbit ke sekolah dan hanya membawa komputer riba milik sekolah.
“Laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai pada Jumaat lalu selepas dia tidak pulang dalam masa 24 jam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja itu pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE