fbpx

ASP didakwa terima rasuah ubah suai rumah, deposit Kawasaki Versys

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai SPRM mengiringi Mohd. Firdaus (kiri) untuk didakwa atas dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Seorang pegawai polis kanan berpangkat Asisten Superintendan (ASP) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah kerja ubah suai rumah dan bayaran pendahuluan pembelian motosikal berkuasa tinggi berjumlah RM13,500.

Tertuduh, Mohd. Firdaus Mohamad, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Machang didakwa menerima perkhidmatan ubah suai rumah berjumlah RM9,000 secara percuma tanpa balasan daripada seorang kontraktor berusia 38 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Pak Elong Telong, Bachok pada Januari hingga Jun 2018.

Mohd. Firdaus juga didakwa menerima wang tunai RM4,500 sebagai bayaran pendahuluan untuk pembelian motosikal Kawasaki Versys daripada individu sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang pada Januari 2018.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kelantan, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI