PETALING JAYA – Melihat dan mendengar kepada lagu tema atau OST siri-siri drama ketika ini, kebanyakkannya lebih kepada lirik patah hati, kekasih hati diambil orang atau kisah cinta yang tidak kesampaian sering kali diulang.
Mungkin disebabkan kebiasaan sebegitulah generasi sekarang dilihat lebih cenderung kepada tekanan dan agak tidak selasak generasi terdahulu seperti kanak-kanak di era 80an dan 90an.
Di media sosial ketika ini, maksud sebenar lagu OST siri drama superhero terkenal dari Jepun, Gaban yang popular sehingga menjadi ikutan kanak-kanak era 80an dan 90an telah didedahkan.
Walaupun penonton siri tersebut di Malaysia sebelum ini mungkin tidak memahami maksud sebenar lagu yang dinyanyikan Akira Kushida itu, namun rentak serta alunan lagu terbabit ternyata menaikkan semangat generasi kanak-kanak ketika itu.
Menerusi lirik lagu tema pembukaan siri Gaban, lirik berkisarkan mengenai semangat orang lelaki dalam misi pertempuran serta menaikkan semangat anak lelaki dalam setiap liriknya.
“Kamu lelaki, jangan lembik sangat, sematkan dalam hati kamu, semangat yang membara.
“Aku sudah di sini, selangkah di hadapan kamu, pecut selaju-lajunya ke masa hadapan, apa makna jiwa muda? Sesuatu yang tidak perlu toleh ke belakang,” kata-kata serta maksud lirik lagu dari Jepun itu.
Ditambah pula watak Gaban adalah seorang polis angkasa yang diturunkan bagi misi menyelamatkan bumi dari siri serangan pihak jahat. – KOSMO! ONLINE.