KLANG – Malang menimpa tiga nelayan tempatan apabila bot dinaiki mereka dirempuh sebuah vesel ketika menangkap ikan di perairan berdekatan Pulau Klang di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu menyebabkan seorang mangsa dilaporkan hilang iaitu Zamri Mohd. Harun, 56, manakala dua mangsa selamat, Suzamri Mohd. Sabri, 56, dan Yazid Harun, 52.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kejadian itu melibatkan bot fiber dinaiki mangsa yang dirempuh sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) jenis pukat tunda, kira-kira 0.3 batu nautika di utara Pulau Klang.
Jelas beliau, pihaknya menerima laporan kecemasan daripada seorang nelayan yang mendakwa vesel itu melarikan diri sejurus berlakunya rempuhan berkenaan.
“Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Selangor kemudian mengatur gerak bot ronda ke lokasi bagi melakukan pencarian awal mangsa yang hilang. Zamri dipercayai hilang di laut dan kali terakhir memakai baju berwarna biru merah dan berseluar biru,” katanya hari ini.
Menurut Abdul Muhaimin, dua mangsa yang terselamat dibawa ke Jeti Maritim Selangor sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.- KOSMO! ONLINE