REMBAU – Polis kini mengesan individu yang terlibat dalam kes pecah tabung Masjid Kariah Pedas Tengah, di sini dipercayai berlaku antara pukul 11 malam semalam hingga 5.25 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, aduan dibuat oleh siak masjid berusia 62 tahun pada pagi semalam di Balai Polis Pedas.
Menurutnya, siak masjid mendapati pintu sebelah kanan masjid telah terbuka ketika datang ke masjid sebelum subuh dan hasil pemeriksaan dalam masjid didapati terdapat kesan umpil di pintu berdekatan dengan bilik bendahari.
“Kunci rantai mangga telah dipotong dan didapati dua tabung masjid telah dipecahkan. Siasatan lanjut telah dijalankan di lokasi kejadian termasuk menemui kesan cap jari pada cermin pintu sliding yang diumpil dan dua kesan cap jari pada tabung yang diumpil.
“Anggaran kerugian lebih kurang RM 100. Kita kini sedang giat mengesan suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di aplikasi whatsApp kejadian pecah tabung masjid dan rasa dukacita pihak masjid susulan kejadian tersebut.- KOSMO! ONLINE