KUALA LUMPUR – Misi skuad negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan 34 tahun dalam acara regu berpasukan kini tinggal selangkah apabila berjaya menempah tiket final Piala Asia 2025 selepas mudah menumpaskan India 2-0 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Malaysia langsung tidak perlu mengerah semua kekuatan apabila hanya menggunakan dua regu utama untuk memastikan tiket ke final bertemu seteru tradisi, Thailand, tepat jam 4 petang ini.
Regu pertama negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) membuka tirai dengan langkah penuh yakin, membenam regu India 15-8, 15-6.
India yang menurunkan Wahengbam Henary Singh (tekong), Bobby Kumar (perejam) dan Ram Kumar Sharma (pengumpan) nyata tidak mampu mengekang asakan bertali arus gandingan mantap negara itu.
Rentak kemenangan diteruskan oleh regu kedua negara yang diketuai Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Muhammad Noraizat Mohd Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) apabila menundukkan trio India , Arun (tekong), Yumnam Akash (perejam) dan Sorokhaibam Malemnganba Singh (pengumpan) dengan keputusan 15-8, 15-5.
Segala-galanya menjadi buat skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun yang kini perlu mengekalkan momentum cemerlang ketika berdepan Thiland untuk melunaskan misi menamatkan kemarau kejuaraan sejak Sukan SEA Manila 1991
Bagaimanapun, amaran awal sudah diberi Thailand apabila mereka bukan lawan sembarangan apabila skuad Gajah Perang mara itu mara ke final selepas membenam Korea Selatan 2-0 dalam aksi separuh akhir, sebentar tadi.
Walaupun regu pertama Thailand dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 12-15, 15-9, 15-3, regu kedua mereka tampil mengganas dan langsung tidak memberi ruang, membelasah Korea 15-4, 15-5 dalam masa singkat. -KOSMO! ONLINE