SIRI Jelajah Korea Selatan menjadi medan terbaik buat skuad hoki negara bagi menilai barisan pemain menjelang saingan Piala Negara-Negara di Kuala Lumpur bulan depan.
Pengurus pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, misi kali ini turut menjadi simbol pengiktirafan apabila seluruh kos penginapan dan perlawanan ditanggung Korea Selatan smenghargai reputasi Speedy Tigers.
“Kami bawa 22 pemain dengan empat pertukaran berbanding skuad ke Australia sebelum ini. Selepas jelajah ini, jurulatih Sarjit Singh akan umum senarai akhir ke Piala Negara-Negara,” katanya.
Jelajah itu dilihat penting untuk menilai tahap keserasian pemain dan pelaksanaan taktikal, lebih-lebih lagi selepas sesi pendedahan kompetitif di Australia bulan lalu.
“Jelajah Korea merupakan satu lagi fasa penting dalam pembinaan pasukan. Fokus utama adalah mempertajam aspek taktikal, terutama apabila ruang dan masa terhad,” ujar Sarjit.
Piala Negara-Negara FIH dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 21 Jun depan dan bakal menyaksikan skuad negara berentap bersama pasukan-pasukan elit dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Bermula kejohanan itu, tahun 2025 menjadi medan getir buat Speedy Tigers dengan tiga lagi kejohanan besar menanti termasuk Piala Asia di India dari 27 Ogos hingga 7 September depan yang turut menawarkan slot ke Piala Dunia.
Malaysia juga akan bertanding di Piala Sultan Azlan Shah (22–29 November) sebelum menutup musim dengan temasya Sukan SEA Thailand 2025 bermula 9 hingga 20 Disember depan.