BACHOK – Seorang pemilik spa yang cedera selepas disimbah cecair yang dipercayai asid dalam kejadian di Beris Kubur Besar di sini semalam selesai menjalani pembedahan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) petang ini.
Suami mangsa yang dikenali sebagai Wan, 33, berkata, isterinya yang berusia 27 tahun keluar dari bilik pembedahan kira-kira pukul 4 petang tadi dan masih belum sedarkan diri.
Menurutnya, isterinya akan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPUSM dalam tempoh enam jam selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan parah.
“Saya mendoakan keadaannya bertambah baik selepas dia selesai menjalani pembedahan yang bermula pukul 10 pagi. Insya-Allah, saya dan keluarga berharap dia sedar dan cepat sembuh dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Kosmo! Online hari ini melaporkan pakaian seorang pemilik spa terbakar manakala bahagian lengan dan belakangnya melecur selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh empat individu yang berpurdah di premisnya di Beris Kubur Besar di sini semalam.
Suami mangsa yang dikenali sebagai Wan, berkata, kejadian itu menyebabkan isterinya mengalami kecederaan parah pada kedua-dua bahagian tersebut dan kini sedang menjalani pembedahan di HPUSM Kubang Kerian dekat ini.
Menurutnya, isterinya menjalani pembedahan bermula pukul 10 pagi tadi dan ketika ini masih berada di dalam bilik bedah. – KOSMO! ONLINE