BACHOK – Seorang pemilik spa dan salun kecantikan cedera di lengan selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh tiga individu termasuk dua wanita yang tidak dikenali semasa berada di tingkat atas premisnya di pekan Beris Kubor Besar di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dan masih bertelekung selepas menunai solat maghrib berada di dalam premis bersama seorang anak.
Saksi kejadian yang juga peniaga, Izati Aziz, 20, berkata, dia menyedari kejadian tersebut selepas terdengar jeritan mangsa meminta tolong supaya memanggil polis.
“Saya bergegas keluar dan mendapati mangsa masih memakai telekung. Dia menjerit meminta tolong sambil memimpin tangan anaknya.
“Peniaga pasar malam berhampiran segera membantu menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Izati memberitahu, dia melihat pemilik spa itu segera berlari ke klinik bagi mendapatkan rawatan.-KOSMO! ONLINE