GEORGE TOWN – Seorang pemandu tersepit di bahagian tempat duduk hadapan selepas terlibat dalam nahas dua buah van kilang di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Tiram di sini, pagi tadi.
Mangsa, Rosmadi Seleman@Sulaiman, 44, mengalami kecederaan pada kaki kanan dan telah dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berlaku pada pukul 6.20 pagi tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Komander Operasi, Abdul Manap Kadir.
“Berlaku perlanggaran melibatkan dua buah van kilang jenis Futon dan Nissan Urvan. Terdapat seorang mangsa telah tersepit di bahagian di ruang pemandu.
“Pasukan bomba bertindak membuat kerja-kerja penstabilan kenderaan yang terlibat dan mangsa telah berjaya dikeluarkan pada pukul 6.56 pagi dengan menggunakan peralatan khas,” ujarnya di sini, sebentar tadi.
Katanya lagi, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan dan dihantar ke hospital berhampiran dengan menaiki ambulans Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS). -KOSMO! ONLINE