NEWCASTLE – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya kekal fokus menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal di Stadium Emirates malam ini.
The Magpies pastinya mahu pulang dengan tiga mata bagi memastikan mereka melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selain memintas Arsenal yang berada di tangga kedua.
Howe berkata, pemain-pemainnya tidak boleh berasa terlalu selesa atau memandang rendah keupayaan tuan rumah meskipun mereka menang kesemua tiga perlawanan menentang The Gunners musim ini.
“Misi kami masih belum tamat dan kedudukan boleh berubah bila-bila masa, sebab itu semua pemain perlu mengekalkan fokus. Kami perlu keluarkan segala-galanya dan menang semua baki perlawanan.
“Persiapan berjalan cukup baik dan berada dalam keadaan harmoni. Saya tahu bukan mudah untuk bermain di tempat lawan tetapi saya percaya pemain-pemain Newcastle tidak akan terganggu,” katanya.
Walaupun sudah menewaskan Arsenal sebanyak tiga kali sebelum ini, namun beliau tetap menganggap bekas juara EPL musim 2003/04 itu sebagai salah satu pasukan yang cukup liat untuk ditewaskan.
“Setiap perlawanan menentang Arsenal musim ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk kami, tambahan pula mereka adalah pasukan pilihan. Kami perlu keluarkan permainan sama seperti sebelum ini jika mahu kalahkan mereka,” ujar Howe. – AGENSI