fbpx

Muzium tonggak perpaduan negara – Aaron Ago

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron Ago (tiga kiri) merasmikan Majlis Perasmian Seminar Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 di sini, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID

PETALING JAYA – Muzium bukan sahaja berfungsi sebagai tempat memelihara sejarah, malah kini dilihat sebagai wadah penting dalam menyemai perpaduan dan persefahaman nasional.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, institusi muzium perlu terus relevan dalam landskap dunia moden yang sentiasa berubah, termasuk menghadapi cabaran kemajuan teknologi, perubahan sosial serta pengaruh globalisasi.

“Di Malaysia, kita mempunyai sebanyak 232 buah muzium merangkumi peringkat persekutuan, negeri, swasta dan individu.

“Institusi-institusi ini bukan sekadar menjadi penjaga sejarah, tetapi juga pusat dinamik yang mempromosikan warisan, perpaduan dan inklusiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 bertemakan “The Future of Museums in Rapidly Changing Communities” di sini hari ini.

Tambahnya, kementeriannya komited memastikan muzium mencerminkan nilai inklusiviti, kebolehcapaian, kelestarian dan kepelbagaian, sejajar dengan peranan baharu Jabatan Muzium Malaysia yang kini di bawah kementerian tersebut.

Menurut Aaron Ago, antara strategi yang sedang digerakkan termasuk meningkatkan kebolehcapaian sumber muzium kepada semua lapisan masyarakat serta memupuk naratif inklusif yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan sejarah negara.

“Transformasi digital perlu diterapkan secara serius agar muzium terus relevan dan berfungsi sebagai jambatan antara masa lalu dan masa depan.

“Antara inisiatif yang boleh diterokai termasuk pendigitalan koleksi, pameran realiti maya, aplikasi mudah alih serta penglibatan komuniti melalui platform digital,” jelasnya.

Seminar anjuran Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Majlis Muzium Antarabangsa Malaysia (ICOMMAL) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah itu menghimpunkan pemain industri, pengkaji serta pengamal muzium dari dalam dan luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI