LE MANS – Spekulasi kononnya jentera ditunggang Marc Marquez mendapat keistimewaan berbanding pelumba Ducati lain disangkal Fabio di Giannantonio.
Marquez yang kini menerajui kedudukan pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini, mencuri tumpuan selepas meraih kemenangan sprint dan menamatkan Grand Prix (GP) Perancis di tempat kedua minggu lalu.
Prestasi luar biasa itu menimbulkan persoalan sama ada Marquez menggunakan jentera Ducati GP25 diubah suai secara khusus, sesuatu yang sering dikaitkan dengannya bersama Honda dahulu.
Namun, Di Giannantonio yang menunggang jentera VR46 menegaskan, semua jentera Ducati GP25 musim ini adalah sama.
“Semua jentera adalah sama, tapi kalau nak kepastian, kena tanya Gigi Dall’Igna (Pengarah Teknikal Ducati). Kami semua ada pelumba, pasukan dan jentera untuk berada dalam kelompok tiga teratas setiap hujung minggu. Ini bukan angkuh tetapi realiti.
“Jentera kami menang sebab ia sama dengan jentera Marc. Ia dibangunkan sejak beberapa tahun lalu oleh Pecco (Francesco Bagnaia), pasukan ujian dan pelumba kilang lain,” katanya.
Jelasnya lagi, tidak masuk akal untuk menyatakan Marquez telah merevolusikan jentera Ducati hanya dua perlumbaan pertama sebagai pelumba rasmi pasukan.
“Marc baru sahaja menjadi pelumba rasmi. Tak logik kalau dua perlumbaan dia ubah terus jentera ini dan semua orang kena ikut cara tunggangan Marc. Untuk menang, anda kena lebih hebat daripada yang lain,” tambahnya.
Setakat ini, Marquez mengumpul kelebihan 22 mata di hadapan adiknya, Alex Marquez, manakala Bagnaia masih ketinggalan 51 mata selepas bergelut dengan masalah cengkaman tayar.