KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun akur dengan kekalahan 0-2 kepada Thailand dalam aksi final acara regu berpasukan Piala Asia 2025, di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Ahmad Jais menyifatkan skuad kendaliannya telah memberikan segalanya di atas gelanggang, namun keampuhan pasukan lawan serta beberapa kesilapan mudah menjadi pemusnah kepada impian besar negara untuk menamatkan kemarau 34 tahun dalam acara regu berpasukan.
Katanya, pasukan kendalian Suphaloek Kimthong benar-benar solid dan terus berjaya menampilkan aksi terbaik menjuarai acara regu berpasukan di Kuala Lumpur.
“Secara peribadi, saya lihat prestasi pasukan kita dalam perlawanan akhir belum cukup baik namun Thailand lebih kemas dari segi serangan dan pertahanan.
“Pemain kita cuba untuk bangkit, tetapi tidak berjaya mengekang tekanan yang diberikan mereka sepanjang permainan.
“Kita nampak pemain-pemain bergelut, khususnya dalam pertahanan bola pertama. Itu membuka ruang buat Thailand menyerang bertali arus. Dari segi konsistensi dan ketahanan mental, kita masih belum cukup mantap,” katanya.
Meskipun kecewa dengan kekalahan, beliau tetap menghargai usaha anak-anak buahnya yang menunjukkan semangat juang tinggi hingga ke penghujung aksi.
“Saya terima keputusan ini dengan hati terbuka. Pemain sudah cuba yang terbaik, tapi rezeki belum memihak kepada kita. Ini isyarat bahawa kita perlu bekerja lebih keras selepas ini.”
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir menjuarai acara regu berpasukan pada Sukan SEA Manila 1991 dan kini skuad negara perlu bangkit di Piala Raja Thai dan Sukan SEA Thailand. -KOSMO! ONLINE