fbpx

Kena kejar polis punca langgar lampu merah rupanya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan seorang penunggang motosikal merempuh penunggang motosikal lain yang tidak bersalah.

SUNGAI PETANI – Tindakan dua remaja lelaki melarikan diri daripada polis membawa padah apabila mereka terlibat kemalangan di lampu isyarat Jalan Lencongan Barat, di sini pada petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 petang itu, penunggang motosikal berusia 16 tahun dan pembonceng berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah di muka dan kaki.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang penunggang motosikal lain mengalami kecederaan akibat kemalangan itu, gara-gara remaja terbabit melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian dua remaja itu yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Muda yang membuat rondaan cegah kemalangan di Sungai Pasir.

“Sewaktu ditanya mengenai lesen memandu, remaja itu bertindak melarikan diri dan anggota bertindak mengejarnya sejauh kira-kira satu kilometer

“Dalam usaha melarikan diri, remaja itu melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah motosikal jenis Honda Vario ditunggang seorang pekerja kilang wanita yang sedang bergerak di laluan ke Padang Temusu,” katanya di sini hari ini.

Katanya, akibat rempuhan kuat itu, motosikal dinaiki dua remaja berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala motosikal pekerja kilang berusia 22 tahun rosak di bahagian hadapan kanan.

“Remaja lelaki yang tidak bersekolah itu dan pemboncengnya seorang pembantu kedai makan mengalami kecederaan agak parah, manakala pekerja kilang wanita mengalami kecederaan pada kaki kanan.

“Kesemua mangsa menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki bukan sahaja menunggang motosikal dengan laju, malah melanggar lampu isyarat merah sehingga merempuh penunggang motosikal lain yang tidak bersalah.

Menerusi satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dikongsikan di Facebook, penunggang itu dilihat melanggar lampu isyarat merah dengan kelajuan tinggi serta secara melulu sebelum melanggar penunggang lain sehingga tersungkur di atas jalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI