PETALING JAYA – Harga jualan telur di Malaysia merupakan harga paling murah di rantau Asia Tenggara apabila dijual pada harga hanya RM 0.42 sebiji berbanding negara-negara serantau yang lain.
Menerusi hantaran Majlis Keselamatan Negara cawangan Terengganu di media sosial menerangkan, harga telur yang dijual di pasaran tempatan adalah yang termurah jika dibandingkan dengan beberapa jiran antaranya Thailand dengan harga pasaran RM 0.52 sebiji.
“Harga jualan telur di Kemboja adalah RM 0.87 sebiji, di Myanmar RM 0.84, Filipina RM 0.94 sen manakala di Vietnam kini mencatatkan harga semahal RM 1.03 bagi sebiji telur,” jelas hantaran tersebut.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
“Keadaan ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu, apabila bekalan telur berada pada tahap mencukupi dengan harga yang kompetitif,” menurut kenyataan itu.
KPKM menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk menyasar semula subsidi telur ayam dibuat dengan mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara. – KOSMO! ONLINE