JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menyeru usahawan di negeri ini untuk merebut peluang memohon program BRJohor Niaga bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, seramai 644 usahawan telah menerima manfaat program BRJohor Niaga dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM43.2 juta.
Katanya, program ini masih mempunyai baki pembiayaan sebanyak RM53.1 juta dan permohonan tersebut akan ditutup pada Mac tahun depan.
“Bagi program BRJohor Niaga, usahawan mikro, layak memohon pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000 dengan kadar faedah akan ditanggung 100 peratus oleh kerajaan negeri.
“Bagi pembiayaan untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) pula, ia bermula RM50,001 hingga RM500,000 dengan kadar faedah yang ditanggung oleh kerajaan negeri adalah sebanyak 3.58 peratus dan selebihnya ditanggung oleh peminjam,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Insentif Khemah Kepada Usahawan Mikro Johor Bahru di Pasar Malam Jalan Kemuliaan, Taman Universiti di sini baru-baru ini.
Seramai 6,000 usahawan mikro di negeri ini menerima khemah tersebut yang keseluruhannya berjumlah RM3 juta pada tahun ini.
Mohd. Hairi memberitahu, Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) telah menjalankan 91 inisiatif melibatkan peruntukkan RM69.72 juta yang memanfaatkan 6,777 penerima, sehingga 31 Mac lalu.
“Dalam masa sama, Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) turut membelanjakan RM4 juta merangkumi pelbagai inisiatif dalam membangunkan ekosistem keusahawanan di negeri ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE