PETALING JAYA – Gara-gara mencukur jambang, pelakon Fadlan Hazim mendedahkan isterinya iaitu Aiya Mukhamedsalova tidak menyukai penampilan terbaharu sekali gus mengelak untuk dicium.
Kata Fadlan atau Fadlan Hazim Anuwar, 33, Aiya lebih memilih wajahnya berjambang yang sememangnya merupakan lelaki mengikut cita rasa wanita itu.
“Saya cukur hari itu dua hari tak boleh cium dia sebab dia tak bagi.
“Dia nak bagi makanan pun tak pandang muka saya. Memang ‘taste’ (cita rasa) dia lelaki berjambang.
“Sekarang dia boleh terima tetapi dia lebih memilih ada sikit (jambang) macam ini,” selorohnya pada majlis doa selamat filem Nar’Sata Sekutu Setan baru-baru ini.
Tambahnya lagi, sejak mengenali wanita warga Kazakhstan itu wajahnya tidak pernah ‘bersih’ sehinggalah terpaksa mencukur baru-baru ini.
“Sejak kami berkenalan, saya jarang ‘clean shave’. Selalunya buat untuk watak saja lah.
“Hari itu memang saja buat untuk konten, lagipun dah gatal sebab lama sangat simpan (jambang),” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon drama Curang Tanpa Niat itu mengakui wajahnya kelihatan janggal selepas mencukur jambang kerana menampakkan dua tona warna berbeza.
“Bila jarang cukur tiba-tiba buat, dia jadi pelik.
“Sebab bahagian atas muka nampak gelap, kawasan jambang akan nampak putih. Itu yang menyampah,” jelasnya.
Sebelum ini, Fadlan merakam reaksi isterinya selepas mencukur jambang.
Dalam ruangan kapsyen, Fadlan turut memberitahu isterinya tidak menyukai penampilan tersebut.
Fadlan mendirikan rumah tangga bersama Aiya pada Julai 2023 selepas bertunang pada Oktober 2022.
Meskipun berlainan budaya dan adat, Fadlan berkata, perkara itu tidak menjadi masalah untuk dua jiwa bersatu. – KOSMO! ONLINE