TELUK INTAN – Dakwaan mengatakan pemandu lori muatan batu yang terbabit kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu telah dibebaskan dengan jaminan adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, masih ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
“Setakat ini, dia masih berada dalam lokap IPD Hilir Perak. Difahamkan, ada rakannya yang mahu membayar ikat jamin.
“Mungkin esok kerana proses jamin dan urusan keluar masuk OKT (orang kena tuduh) ini hanya boleh dilakukan pada waktu bekerja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Bakri, sekiranya tiada jaminan yang diterima oleh pihak mahkamah, tertuduh akan dihantar menjalani reman penjara di Pusat Koreksional Batu Gajah.- KOSMO! ONLINE